Nuffnang Ads

24 Januari 2011

Pindaan Perlembagaan Selangor


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan pindaan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Selangor 1959 dibuat supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan sultan.

Pakatan Rakyat, tegas Khalid lagi, memberikan komitmen menjunjung perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh negeri serta Rukun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini.

Pakatan juga, tambahnya, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Berikut ucapan penuh Abdul Khalid yang disampaikan sebentar tadi:

Dengan izin Allah SWT, dan di atas perkenan Tuanku, dapat patik dan seluruh wakil rakyat di seluruh negeri Selangor, negeri naungan Tuanku, hadir ke Dewan yang mulia ini bagi patik sekalian melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Selangor Darul Ehsan.

Patik mengaku, akur dan insaf terhadap ingatan Tuanku bahawa Tuanku memberi perkenan akan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor ini dan patik percaya dan yakin semua wakil rakyat cukup rasional dan bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan mereka. Tuanku tidak sama sekali diheret ke dalam kepentingan mana-mana kolompok kepartian di sepanjang perbahasan di dalam dewan ini.

Patik ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh wakil rakyat yang hadir kerana ia jelas menunjukkan permasalahan yang kita bincangkan ini adalah permasalahan dan masa hadapan negeri. Wakil-wakil rakyat juga tidak mahu bermuka dua dan membelakangi rakyat yang memilih mereka.

Patik bangga isu yang besar ini dapat mencantumkan pemikiran kami semua terhadap isu utama negeri, perihal yang mendesak dan mempunyai kepentingan awam ini, meskipun kami berbeza daripada segi perjuangan dan ideologi politik. Patik sekalian berusaha memartabatkan dewan yang mulia ini dengan tatatertib yang baik serta kata-kata yang melambangkan rakyat negeri ini adalah rakyat bertamadun. Ampun Tuanku.

Dato' Speaker, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor, ahli-ahli dewan negeri, ahli-ahli parlimen yang turut hadir, pengamal undang-undang, ketua-ketua jabatan, kakitangan kerajaan, ahli-ahli politik, para mahasiwa, wakil-wakil media massa dan seluruh hadirin pada pagi yang mulia ini.

Dalam tempoh hampir tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran negeri Selangor, terdapat beberapa kendala yang perlu dilalui dengan berhemah. Semuanya itu adalah asam garam yang memang perlu dilalui oleh mana-mana pemimpin politik yang dinamik. Demikianlah, bagi saya, Selangor selaku negeri tunjang negara, perlu bersedia menghadapi suasana di luar jangka perjalanan biasa. Kita perlu bersedia melakukan perubahan sebesar manapun, seandainya perubahan itu mampu membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini.

Peristiwa pelantikan setiausaha kerajaan negeri mempunyai hikmah tersendiri. Kita tidak menganggapnya kemelut besar, bukan juga krisis perlembagaan. Natijahnya, kita menerimanya dengan hikmah. Ia memberi peluang kepada kita untuk memperbetul perkara salah yang menjadi amalan selama ini. Prinsip "biasakan yang betul dan betulkan yang biasa" adalah prinsip murni yang dapat dijadikan amalan harian kita selepas ini.

Maka, tindakan kerajaan persekutuan atas tiket ketua setiausaha negara melantik pegawai eksekutif ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri. Penghinaan ini wajib kita perbetulkan. Berpegang pada tanggungjawab itulah maka kita kembali ke dewan yang mulia ini untuk mengadakan mesyuarat dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor. Mesyuarat kali ini adalah untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya pada Perkara 52(1).

Selaku Menteri Besar, saya berasa bertanggungjawab untuk memperbetul amalan sumbang yang selama ini dilakukan pentadbiran Umno sejak pindaan Perlembagaan 1993. Pindaan tersebut ternyata mengakibatkan peranan Negeri dan Sultan bercelaru dan kabur. Justeru itu, hari ini kita hendak meletakkan duduk perkara dengan sejelas-jelasnya. Pentadbiran sebelum ini gagal dan tidak mampu membetulkannya kerana walaupun mereka mentadbir negeri, namun pemikiran mereka terpasung dan hati mereka berkiblatkan Putrajaya. Dalam perkataan lain mereka tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Berburu ke padang datar,
Tembak rusa belang kakinya,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Berbeza daripada kerajaan terdahulu, kini kita kerajaan Pakatan Rakyat hendak melakukan pindaan dan perubahan agar generasi mendatang tidak lagi berada dalam kekaburan hatta kecelaruan. Selaku penggubal undang-undang yang bertangggungjawab dan mempunyai kekuatan ilmu, iman dan jati diri, kita hendak melakukan yang terbaik. Akhirnya, tidak ada lagi individu mahupun puak yang berani melanggar kuasa negeri mahupun kuasa Sultan.

Saya perlu menggunakan masa sedikit lama bagi menghuraikan kronologi yang menyebabkan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) ini diadakan agar ia menjadi lakaran sejarah untuk rujukan penggubal undang-undang pada masa hadapan dan bagi kajian ilmiah pelajar dan pengamal undang-undang agar tiada lagi pengamal undang-undang yang buta sejarah.

Namun, sebelumnya izinkan saya mengimbas kembali sejarah dan latar belakang yang melatari pindaan perlembagaan 1993, khususnya senario politik negara ketika itu. Ia amat perlu dikhabarkan kerana rakyat negeri Selangor berhak untuk mengetahui sejarah dan fakta sebenar dan sebagai negeri yang berdaulat, Dewan Yang Mulia inilah forum terbaik untuk melakarkannya.

Apatah lagi terdapat segelintir manusia yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan hendak melemahkan kedudukan istana dengan tindakan kita hari ini. Kenyataan ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa negeri tidak mempunyai kuasa dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif menggambarkan beliau seorang yang menurut buku secara membuta tuli hingga mengenepikan unsur-unsur penting dalam tata kelola pentadbiran yang baik seperti adat, amalan secara konvensyen dan ketetapan bersama yang diterima pakai. Selaku orang tertinggi dalam perkhidmatan awam, amat malang beliau lupa tentang sejarah dan amalan-amalan biasa yang pernah dan patut diamalkan di dalam mewujudkan sistem pentadbiran yang efisyen.

Begitu juga dengan peguam Umno Dato' Salehudin Saidin yang mengatakan bahawa pindaan yang hendak kita lakukan ini bukan untuk mengembalikan kuasa raja tetapi Menteri Besar. Kenyataan ini bertentangan dengan kefahaman KSN. Ini membuktikan bahawa Umno lebih cenderung untuk memutar belit kefahaman undang-undang dan tidak melihat undang-undang sebagai sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan baik. Mereka sebenarnya mempunyai ingatan yang singkat; a short memory. Nampaknya, ada benarnya tohmahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa "Melayu mudah lupa". Mereka lupa bahawa permasalahan hari ini timbul akibat tindakan Kerajaan Persekutuan yang bersikap seperti 'constitutional monarchy' dan mempermainkan kuasa negeri sekali gus mencemar semangat federalisme.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Sebagaimana yang kita tegaskan beberapa kali, termasuk dalam manifesto Pilihan Raya Ke-12 dan dasar bersama Pakatan Rakyat, kami komited untuk menjunjung Perlembagaan, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Malahan, prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran kita.

Pada premis yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Malahan dalam Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat beberapa tahun yang lalu kami zahirkan dengan jelas komitmen kita untuk mengembalikan kedudukan Raja-Raja yang berjaya dihakis oleh pentadbiran Umno, khususnya semasa kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru itu, adalah sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan Perdana Menteri itu mendakwa bahawa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-Undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perhubungan Umno Selangor Dato Seri Noh Omar pada 7 Januari yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan tidak mungkin berjaya melakukan pindaan kerana tiada perkenan istana. Kepemimpinan Umno Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dengan bersyarat pula. Apa-apapun, kita menerima kehadiran mereka sama ada yang jahil mahupun yang ada sedikit ilmu. Sebelum itu, saya ingin bertanya: adakah Umno meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap?

Dato Speaker yang dimuliakan,
Memandangkan Kedaulatan Raja-Raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap kami maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan duduk perkara yang sebenar. Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara Umno dengan Raja-Raja sejak awal 1980-an lagi. Secara ringkas, Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja". Bagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu lantas melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan adalah Perkara 66(5). Peruntukan asal berbunyi: "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang di-Pertuan Agong menandatangani". Peruntukan pindaan pula adalah "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang".

Begitu juga dengan pindaan kepada Perkara 10(1), iaitu kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut. Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini, bermula pada pindaan tahun 1983 itu.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. Umno pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja. Akhirnya, setelah membuat beberapa rundingan krisis itu diselesaikan dengan beberapa kompromi:

(1) Pertama, Umno bersetuju menggugurkan pindaan yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu.
(2) Kedua, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan Rang Undang-undang yang baginda tidak berkenan kepada Parlimen,
(3) Ketiga, pindaan terhadap kuasa perkenan di negeri-negeri, digugurkan,
(4) Keempat, kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Langit tidak selalunya cerah. Mendung tidak bererti hujan. Umno terpaksa berlindung dan memohon belas ihsan istana apabila menghadapi masalah politik beberapa tahun kemudian, iaitu apabila Umno diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah pada 1987. Pimpinan Umno lantas kembali merayu kuasa Sultan untuk menubuhkan Umno Baru dan memohon Sultan Johor untuk melancarkannya di Istana Besar Johor Bahru.

Bagaimanapun, hubungan Umno dengan istana tegang semula apabila Umno tersungkur 39-0 di Kelantan pada Pilihan Raya 1990. Ibarat kacang melupakan kulit, Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memaki hamun Raja-Raja. Ada perwakilan yang meminta Perlembagaan dipinda untuk membataskan kuasa Raja-Raja. Tetapi ia tidak berlaku kerana mereka tidak tahu peruntukan mana yang hendak dipinda. Namun begitu, Umno memaksa Raja-Raja membuat aku janji dan lahirlah apa yang disebut sebagai "Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan 1992". Bagaimapun, ini hanyalah penegasan dan komitmen Raja-Raja terhadap peruntukan-peruntukan yang berkenaan; tidak ada apa-apa pindaan yang dibuat.

Hubungan tegang Umno dengan Raja-Raja memuncak pada hujung 1992 hingga membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-Raja dan keistimewaan imuniti. Maka, berlakulah Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas Raja-Raja.

Hafiz Hashim Sah Keluar BAM

JUARA Seluruh England 2003, Muhd Hafiz Hashim mula mencongak masa depan sebagai pemain profesional selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meninggalkan majikannya itu bermula 1 Februari ini.

Hafiz yang dihubungi semalam gembira dan lega kerana permintaannya mendapat kelulusan BAM dan berakhir dengan baik buat kedua-dua pihak.

“Saya berterima kasih kepada BAM kerana tolong saya, beri banyak peluang kejohanan pendedahan selama ini,” kata Hafiz.

“Saya sentiasa bersedia menyarung jersi negara bila-bila masa. Selama ini ketika bersama Nusa Mahsuri saya juga sering mewakili negara bila dipanggil.”


Hafiz berkata, dia akan mula mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab di Indonesia yang menawarkan kontrak untuk bermain di kejohanan Antara Kelab di sana bermula 19 hingga 27 Februari ini.


“Bila dapat lampu hijau daripada BAM, baru saya boleh berbincang dengan beberapa kelab yang menawarkan kontrak. Saya akan pilih tawaran terbaik,” kata Hafiz mengakui tiga kelab di Indonesia berminat mendapatkannya.

Bermain di Indonesia adalah rancangan jangka pendek Hafiz selepas dia kembali dari aksi Siri Super Premier Terbuka Korea minggu ini.

“Terbuka Korea adalah kejohanan terakhir saya bersama BAM, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” kata Hafiz yang bertolak ke Korea malam tadi.

Sebagai bakal bergelar profesional, Hafiz juga mula mencongak perancangan mencari penaja kerana kontrak tajaan individu antara dia dan Yonex berakhir selepas meninggalkan BAM.

“Saya akan jumpa wakil Yonex meminta untuk terus menaja saya kerana lebih senang menggunakan barangan Yonex dan tidak pernah menggunakan jenama lain sebelum ini.

“Begitupun ia bergantung kepada tawaran, jika Victor atau Apacs sudi taja saya dengan tawaran lebih baik mungkin saya bersama mereka. Saya perlu pilih yang terbaik kerana kini bergelar profesional.”

Sementara itu, Hafiz berharap ada penaja besar sudi menajanya kerana mahu beraksi di Siri Super Seluruh England dan GP Emas Terbuka Switzerland Mac depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berkata, ahli Majlis bersetuju melepaskan Hafiz yang menyertai badan induk itu selepas Piala Thomas 2008 tanpa syarat.