Nuffnang Ads

04 Januari 2010

KDN akan rayu ke mahkamah lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan rayuan secepat mungkin ke mahkamah lebih tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu membenarkan mingguan gereja Katolik, Herald, menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

"Kerajaan menyedari bahawa isu agama adalah perkara yang sangat sensitif di negara ini. Memandangkan isu ini membabitkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah menerusi undang-undang, maka pihak Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji semula perkara ini dan mengemukakan rayuan secepat mungkin ke mahkamah yang lebih tinggi," kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, semua pihak diminta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung mana-mana pihak serta boleh menjejaskan kehidupan masyarakat berbilang kaum serta menimbulkan masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara sementara menunggu keputusan rayuan itu.

"Dalam menangani isu ini, jangan ada pihak yang bertindak di luar peraturan dan undang-undang kerana kita di negara ini mungkin melalui pelbagai cabaran dan ujian, dan segala halangan serta masalah dapat kita tangani dengan menggunakan akal yang waras," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, KDN akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara dan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta menggunakan sumber dan kekuatan undang-undang termasuk Perlembagaan bagi memastikan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi terus terjamin.

Beliau berkata, KDN akan meneliti dan mengkaji semua maklum balas dan pandangan sebelum melihat kemungkinan meneliti peruntukan undang-undang sedia ada.

"Ia termasuk fasal-fasal dalam Perlembagaan Malaysia bagi mengukuhkan hak dan kedudukan agama Islam agar ia tidak boleh lagi dicabar oleh mana-mana pihak pada masa akan datang. Sudah sampai masanya perkara ini dibuat kajian secara mendalam," katanya.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam. - Bernama

Tiada ulasan: