ISMAIL menunjukkan beberapa jenis kesalahan pihak syarikat serta individu pada sidang media |
Syarikat atau pertubuhan yang didapati bersalah mempromosi atau menjalankan skim piramid boleh dikenakan denda antara RM1 juta dan RM10 juta apabila Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 mula dikuatkuasakan.
Akta itu merupakan pindaan kepada Akta Jualan Langsung 1993 dan ia telah dikemukakan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pindaan itu memperuntukkan denda maksimum RM50 juta atau tidak kurang RM10 juta.Untuk kategori individu, pindaan itu memberi kuasa kepada pihak mahkamah mengenakan denda antara RM500,000 dan RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.Menurut pindaan itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1 juta dan RM10 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pindaan itu turut membabitkan kenaikan jumlah denda ke atas syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.Berdasarkan pindaan itu syarikat atau pertubuhan yang disabitkan bersalah, boleh didenda sehingga RM1 juta berbanding Akta Jualan Langsung 1993 yang hanya memperuntukkan denda RM250,000.Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM2 juta berbanding RM500,000 pada masa ini.
Denda bagi kategori individu atas kesalahan yang sama juga akan dinaikkan selain tempoh penjara turut dipanjangkan.
Berdasarkan pindaan, individu yang melakukan kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berbanding akta sedia ada, ia hanya memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pindaan akta itu memperuntukkan denda RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Akta Jualan Langsung 1993 sebelum ini memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan sama, pindaan itu turut memperluaskan takrif jualan langsung dengan menggantikan perkataan jualan pesanan pos dengan jualan pesanan pos atau jualan melalui transaksi elektronik.
Dengan memasukkan perkataan transaksi elektronik ia meliputi jualan barang-barang atau perkhidmatan secara elektronik dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud mendapatkan komisen, bonus atau apa-apa faedah ekonomi yang lain.
Elektronik yang dimaksudkan oleh pindaan ini ialah teknologi yang menggunakan elektronik, optik, magnetik, elektromagnetik, biometrik, fotonik atau tekonologi lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan